.
Renungan
“If today were the last day of my life, would I want to do what I’m about to do today?”


Sunday, March 29, 2009

En Ismail, Pemandu Teksi

.
Minggu lepas, nak jadi cerita, aku telah menelefon ‘taxi center’ kat Shah Alam … minta dihantar satu teksi ke rumah aku kerana aku mahu ke Condo aku di Bukit Rahman Putra. (Condo ini pun ada ceritanya yang tersendiri. Jika ada peluang, nanti aku kongsi ceritanya di entry yang lain). Tak lama kemudian teksi itu sampai ...
.

Seperti biasa, aku suka berbual dengan pemandu teksi kerana aku rasa banyak cerita-cerita mereka yang menarik. Tak terkecuali dengan pemandu teksi yang aku naiki ini.

Aku tidak terus mengenalkan diri kepada beliau. Tapi kami bermula dengan berbual soal harga rumah yang cukup tinggi kerana dalam perjalanan ke Bukit Rahman Putra itu, kami lihat banyak rumah-rumah sedang dibina. Lama kelamaan perbualan kami makin rancak bilamana dia mula menceritakan latar belakang beliau.
.

Nama beliau En. Ismail. Duduknya di Kg Subang tetapi asalnya dari Acheh. Bila aku tahu dia berasal dari seberang, ini benar-benar menarik perhatian aku. Banyak perkara yang aku mahu tahu mengenai mereka ini. Beliau telah berada di Malaysia ini hampir 20 tahun. Satu jangkamasa yang agak lama.

Pertama kali menjejak kaki di Malaysia, beliau telah bekerja sebagai buruh kasar. Nasib beliau baik sebab selepas itu beliau telah bekerja sebagai pembantu kepada seorang peniaga yang juga berasal dari Acheh. Tak lama kemudian beliau telah mula mengorak langkah berniaga sendiri dengan membuka gerai jual rokok. Berkat sabar dan keinginan mahu menjadi seorang peniaga berjaya, beliau telah berjaya mengumpul modal untuk membuka perniagaan kedai runcit. Beliau telah berusaha tanpa mengenal erti letih dan payah. Pada puncak perniagaan, beliau berjaya membuka sebanyak lima kedai runcit dan sebuah restoran. Kata beliau, pada ketika itu beliau berupaya memakai kereta-kereta mewah. Tambah beliau lagi, bukan tujuan dia mahu menunjuk-nunjuk tapi setakat mahu merasa. Hebat cerita perantau ini ...
.

Sangka aku, perniagaan dia sudah hanyut memandangkan dia hanya membawa teksi. Mungkin dia seakan boleh membaca fikiran aku, bila dia menyatakan bahawa dia membawa teksi ini setakat hobi sahaja dan kini beliau hanya mempunyai 3 kedai runcit sahaja. Aku tersengih macam kerang busuk. Baru aku sedar, teksi yang dipandunya memang agak istimewa. Walau hanya merupakan Proton Iswara tapi memang ada unsur-unsur kemewahan yang tidak ada pada teksi biasa.

Aku tanya beliau apa yang membuat beliau berjaya? Kata beliau, orang Acheh ni kuat bermuafakat. Kuat tolong menolong antara satu sama lain terutama dalam soal berniaga. Orang Acheh ni juga kata beliau, cukup taat kepada perintah Tuhan. Kata beliau, orang Acheh di KL ini selalu menghadiahkan jamuan makan di surau-surau tanpa pengetahuan orang ramai tanda syukur mereka kepada nikmat Tuhan. Beliau juga tidak lupa mengatakan, orang Acheh banyak terhutang budi dengan Rakyat dan Kerajaan Malaysia. Itu aku tak pelik. Memang kita orang Malaysia ini pemurah! Moga kita, Rakyat Malaysia semuanya mendapat kehidupan yang Sejahtera- Bahagia-Kaya.
.

Dalam diam, aku lihat ciri-ciri 3K itu ada dalam En Ismail ini. Dia punya matlamat yang kuat (soal Kesedaran Diri). Dia punya kerjasama yang cukup kuat dengan sekutu-sekutu perniagaan beliau (soal Kerja Berpasukan). Dan aku nampak beliau punya daya pimpin yang cukup hebat. Sangkaan aku memang betul bila beliau menyatakan bahawa beliau merupakan pemimpin untuk orang-orang Acheh di tempat tinggal beliau (soal Kepimpinan). Sudahnya memang sah beliau berjaya kerana beliau mengamalkan 3K (Kerja Berpasukan-Kerja Berpasukan-Kepimpinan) walaupun beliau sendiri tidak tahu apa makna 3K!
.

Bila destinasi kian hampir, aku tidak dapat menahan diri untuk bertanya kepada beliau soalan cepumas aku. Aku tanya beliau, kalau di Malaysia orang Indonesia boleh berjaya mengapa perkara yang sama tidak boleh mereka lakukan di negara mereka sendiri?

En Ismail senyum lalu menyatakan di Malaysia ini, kuasa membeli cukup kuat. Kata beliau itulah perkara paling penting jika mahu wujudkan iklim yang sihat untuk berniaga. Bila dah ada kuasa membeli, sudahnya senang untuk kumpul modal. Perkara sebegini, kata beliau sukar dicapai di Indonesia memadangkan kuasa membeli yang lemah. Mmmmmm .. hebat En Ismail ini. Itulah yang dinamakan bijaksana (wisdom). Orang ada MBA pun kalah!
.

Semangat betul aku rasa lepas aku berbual dengan beliau. Kalau dia yang merantau boleh berjaya, sure aku lagi boleh. Sure ada banyak pasaran untuk barang yang aku nak jual ni (apa lagi kalau bukan PPB3K – Program Produktiviti Bersepadu 3K). Orang Malaysia kan punya kuasa membeli yang cukup kuat ...... Yes ... Aku Boleh! ... Malaysia Boleh!

(Sebelum aku beredar, En Ismail bertanya samada aku tahu dimana boleh dicari orang yang mampu membimbing anak beliau dalam merencana hidup. Macam orang ngantuk disorong bantal, aku lantas menyerahkan ’name card’ aku).
.
Sambil tersenyum lebar aku katakan pada beliau, ”Hantar anak En Ismail itu hadiri kursus Anda Dilahirkan Berjaya pada Jun ini.” Dia tersenyum lega lalu kami berjabat tangan erat).

No comments:

Post a Comment