.
Renungan
“If today were the last day of my life, would I want to do what I’m about to do today?”


Tuesday, August 18, 2009

Kenapa Aku Minat Sejarah?

.
Jika aku masih ingat, sewaktu zaman persekolahan dahulu, aku minat sangat pada subjek Sejarah. Namun ketika itu, subjek ini tidak dipanggil Sejarah tetapi dipanggil Tawarikh. Aku pun tak tahu sebab musabab mengapa aku suka sangat Sejarah. Yang pastinya ketika itu, aku akan tamat membaca buku Tawarikh sebelum bermula sebarang penggal persekolahan. Bukan sebab aku rajin atau apa tetapi aku memang minat sangat Tawarikh. Aku baca buku ini umpama baca buku cerita.
.

Aku berasal dari sebuah kampung yang agak terpencil lalu membuatkan aku membaca buku Sejarah ketika itu sebagai tingkap aku ke dunia luar. Aku begitu teruja mengetahui cara hidup manusia sebelum aku wujud di dunia ini. Malah aku puas berfantasi semasa membaca buku Tawarikh ini.
.


Aku fantasikan diri aku duduk dikalangan manusia purba yang duduk mengelilingi unggun api di zaman batu. Aku hadir semasa perbincangan ketua-ketua Bandar purba Mohinjo Daro dan Parrapa di India. Aku ikut berperang bersama pahlawan Sparta. Aku ‘terbang’ melewati dinasti-dinasti Kuno Cina. Aku duduk di atas puncak bukit menyaksikan peperangan antara Rom dan Byzantine. Aku hadir bersama perbincangan para saintis Islam ketika Zaman Keemasan Islam. Aku turut berniaga bersama ahli-ahli perniagaan di sepanjang ‘Silk Road’. Aku ikut menunggang kuda bersama pahlawan Mongol. Aku berada disebelah Sultan Mansur Shah menyusur sungai Melaka menyaksikan perkembangan Empayar Melaka. Arggghhh … memang sungguh mengasyikkan!
.


Namun hingga ketika ini pun, aku masih terus meneliti sejarah. Aku membaca sejarah ketika ini bukanlah untuk berfantasi lagi tetapi cuba melihat sesuatu itu di dalam perspektif yang berbeza. Aku membaca sejarah ketika ini untuk mengetahui apakah punca yang menyebabkan sesuatu keadaan itu wujud pada saat ini. Bila aku membaca sesuatu sejarah, katakan sejarah kebangkitan Melaka, aku cuba membaca hasil catitan sejarah yang ditulis oleh golongan berbeza atau yang bertentangan.
.


Dalam meneliti sejarah ini, aku selalu ingatkan diri aku agar harus matang menerima fakta-fakta sejarah kerana banyak fakta-fakta ini telah diputar belit bagi faedah golongan tertentu.Sudahnya aku berupaya melihat sesuatu kejadian itu dari perspektif yang lebih luas. Aku membaca setiap cebisan sejarah itu sebagai sekeping ’jigsaw puzzle’ yang sudahnya membina gambaran besar tentang sejarah manusia itu sendiri.
.


Sedar tak sedar, kesukaan aku ini banyak membantu aku melihat kejadian dalam dunia ini dalam konteks yang lebih luas dan jauh. Dapat aku rasakan, jika aku tidak peka tentang sejarah sesuatu perkara itu, aku mudah diperkotak-katikkan oleh unsur-unsur yang berniat jahat sepeti mana berlaku pada ramai puak di dunia ini yang buta dengan sejarah mereka lalu menyebabkan segala tindak tanduk mereka nampak pelik.
.

Akhir kata, aku harap satu masa nanti, sejarah akan mencatitkan bahawa usaha aku melalui PPB3K ini dilihat sebagai satu usaha untuk membentuk manusia agar capai hidup yang Sejahtera-Bahagia-Kaya. God only knows ...