.
Renungan
“If today were the last day of my life, would I want to do what I’m about to do today?”


Saturday, December 12, 2009

Siapa itu Manusia? - Part 2 of 2

.
Unsur 2: Rohani

Berlainan dengan unsur jasmani, unsur rohani memberi erti bahagian yang halus iaitu yang tersembunyi, yang batin atau dalam perkataan lainnya tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Unsur rohani ini merupakan suatu hakikat yang sebenarnya merupakan sebahagian dari kejadian manusia. Kewujudan rohani ini ada dinyatakan sebagaimana Firman Tuhan dalam Al Quran,
.
Yang membuat segala sesuatu yang Dia ciptakan sebaik-baiknya dan Yang memulai penciptaan manusia dari tanah. Kemudian Dia menjadikan keturunannya dari saripati air yang hina( air mani). Kemudian Dia menyempurnakan dan meniupkan ke dalam tubuh manusia roh ciptaanNya (rohani manusia) dan Dia menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati, tetapi kamu sedikit sekali bersyukur. - (Surah As Sajdah, ayat 7,8,9)

Sudah terbina dalam rohani setiap manusia nilai-nilai murni yang perlu digunakan dengan sebaiknya dalam menjalani hidup di mukabumi ini. Juga dengan wujudnya unsur rohani ini, maka mampulah seseorang manusia itu mengenali siapa Tuhannya.


Unsur 3: Akal Fikiran

Tuhan telah menganugerahkan kepada manusia akal fikiran sebagai alat untuk membezakan perkara yang baik bagi dirinya atau sebaliknya. Lihatlah peringkat pemberian akal fikiran kepada seseorang manusia itu. Tuhan telah memberikan akal fikiran tersebut secara beransur-ansur dari kanak-kanak sehingga dia boleh membezakan sesuatu yang mendatangkan bahaya kepada dirinya.
.
Dalam banyak perkara, pilihan memang terletak di tangan manusia itu sendiri kerana anugerah fikiran ini. Manusia tidak boleh menyalahkan orang lain terhadap sesuatu yang berlaku pada dirinya kerana semuanya ini dalam banyak perkara merupakan pilihan yang telah dibuat pada awalnya.


Unsur 4: Emosi/perasaan

Manusia juga telah dianugerah dengan emosi/perasaan agar hidup ini dapat dinikmati dengan sepenuhnya. Bayangkah kehidupan tanpa perasaan/emosi. Apakah yang akan terjadi kepada kehidupan ini?
.
Tanpa emosi, jadilah manusia umpama robot yang tiada berperasaan suka maupun duka. Emosi menyebabkan manusia mempunyai ‘passion’ terhadap sesuatu yang dilaksanakan. Tanpa ‘passion’ mana mungkin manusia mencapai tahap gemilang.


Kesimpulan

Perhatikanlah bagaimana Tuhan telah menjadikan manusia itu hanya berpunca daripada setitik air benih yang berlendir kotor. Kesemua kejadian anggota tubuh manusia itu berseimbang dengan bentuk tubuh itu. Kesemua organ-organ asli yang dijadikan Tuhan adalah terlalu penting dan sekiranya salah satu daripadanya hilang, nescaya kehidupan manusia akan jadi pincang dan tidak sempurna. Jika dilihat dari aspek zahir dan batinnya, maka didapati ianya diciptakan dengan penuh teliti dengan hikmah dan keajaiban.

Dengan ini, maka terbuktilah kekuasaanNya dan sahlah Tuhan itu adalah Maha Pencipta.
.
Soalnya sekarang, setelah Tuhan memberi manusia itu dengan segala macam kehebatan, apakah sebenarnya fungsi kita agar hidup kita sejahtera, bahagia dan kaya di dunia ini dan dunia di sebelah sana? Jawapannya mudah ... keempat-empat unsur diri manusia ini perlu turuti sahaja segala perintah Tuhan seperti cara yang ditunjuk oleh PesuruhNya dalam hari-hari kita menjalani kehidupan ini.
.
(Saya harap artikel ini dapat memberi infomasi tambahan bagi mereka yang telah mengetahui konsep ’Stick Person’ seperti mana yang diterangkan dalam setiap modul PPB3K).

No comments:

Post a Comment