.
Renungan
“If today were the last day of my life, would I want to do what I’m about to do today?”


Tuesday, January 26, 2010

Mulakan Hari Anda Dengan Bersangka Baik

.
Bagaimana anda memulakan hari anda menentukan bagaimana sudahnya anda menjalani hidup anda pada hari tersebut. Saya selalu merasakan 15 minit pertama setelah kita bangun dari tidur merupakan KETIKA yang amat mempengaruhi kualiti minit-minit berikutnya dalam satu-satu hari itu.
.

Jika anda punya kebijaksanaan dan disiplin diri untuk memastikan anda hanya melayan buah fikiran dan melaksanakan aktiviti yang benar-benar hebat ketika anda bangun dari tidur, anda akan lihat hidup anda pada hari tersebut akan menjelma menjadi hari yang cukup menakjubkan.
.
Pernahkah terjadi pada diri anda sebelum ini, ketika anda bangun dari tidur di pagi hari, anda dapati diri anda semacam serba tak kena. Bermula dengan terbangun lewat kemudian anda terpijak sesuatu dalam bilik air lalu terjatuh dan kemudiannya anda tersedar anda tertinggal dompet duit bila tiba di pejabat. Sudahnya anda dapati satu hari tersebut semuanya serba tak kena. Bunyinya macam pernahkan?
.
Cerita di atas sebenarnya adalah kejadian terbalik dari apa yang saya maksudkan dalam perenggan 1 dan 2 di atas.

Saya suka menghabiskan masa lebih kurang 15 minit selepas bangun dari tidur untuk memikirkan perkara-perkara positif yang akan saya lalui pada sesuatu hari itu. Saya bayangkan hari tersebut akan saya lalui sebagaimana yang saya impikan. Memang perkara ini memberi kesan besar dalam hidup saya.
.
Masa-masa ketika bangun dari tidur ini yang panggil sebagai ‘masa suci’ ini perlu kita penuhi dengan bahan-bahan yang menambahbaik fikiran kita, emosi kita, jiwa kita dan fizikal kita.

Tanyakan soalan berikut kepada diri sendiri;

Adakah anda kenal diri anda sendiri?
Adakah anda tahu dimana kedudukan anda dalam hidup ini?
Adakah anda tahu apa yang anda mahu capai dalam hidup ini?
Adakah anda jelas bagaimana mahu mencapai apa yang anda hajati?
Adakah anda kreatif dalam hidup ini?
Adakah anda tahu bagaimana mahu bekerjasama dengan orang lain?
Adakah anda punya strategi untuk bekerjasama dengan orang lain?
Adakah anda tahu bagaimana memimpin orang lain?
Adakah anda punya strategi memimpin?
.
Mungkin ini antara sebab mengapa Tuhan telah mewajibkan salah satu sembahyang fardu itu dibuat ketika waktu subuh. Waktu ketika kita baru-baru bangun dari tidur. Maha Suci Tuhan! Dia yang telah menjadikan manusia. Sudah pasti Dia tahu apa yang terbaik untuk manusia itu.

Jadi mulakan hari anda dengan bersangka baik. Hidup anda tidak akan sama lagi dengan hidup anda sebelum ini!

No comments:

Post a Comment