.
Renungan
“If today were the last day of my life, would I want to do what I’m about to do today?”


Wednesday, January 13, 2010

Sindrom GLYT

.
Kebanyakan ilmu yang kita perolehi dari sebarang kursus atau seminar tidak kekal lama dalam diri kita. Apa orang kata, ‘tak melekat’ dengan kita. Bila tamat saja sesuatu kursus atau seminar, ramai di antara kita dalam diam-diam berkobar-kobar mahu berubah. Mahu amal apa yang kita fahami melalui kursus atau seminar yang kita hadiri.
.

Namun, apa yang terjadi? 2-3 hari lepas itu, kita balik semula keadaan asal kita. Kita tak amal apa yang telah kita tahu. Kita masih tidak berubah. Sudahnya kita selalu rasa diri kita lebih teruk dari sebelum hadir kursus atau seminar tersebut. Kenapa yer?
.
Inilah persoalan yang selalu saya dengar. Akibat daripada fenomena ini, ramai sudahnya ’give-up’ untuk hadir sebarang kursus atau seminar di masa depan. Mereka mengeluh ... ”Aku dah banyak hadir kursus dan seminar, tapi tak kemana-mana pun. Buang duit, masa dan tenaga aku saja.” Biasa kita dengar kata-kata beginikan?
.
Sebagai seorang yang telah lama terlibat dalam urusan pembangunan manusia, saya merasakan kita semua perlu mempunyai kesedaran terhadap empat perkara berikut yang saya panggil sindrom GLYT (Gagal-Lupa-Yakin-Takut). Jika kita mahu punya kekuatan untuk mengamal atau berubah hasil dari kursus atau seminar yang telah kita hadiri, kita perlu betul-betul sedar dengan sindrom GLYT ini.
.
Gagal

Semua manusia tidak suka kepada kegagalan. Nun jauh dalam fikiran separuh sedar kita, kita selalu merasakan jika kita melakukan perkara baru yang diperolehi dalam kursus atau seminar itu akan mendedahkan kita kepada kegagalan. Atas sebab itu kita tidak mencuba. Sungguh menyedihkan. Saya teringat kata Hamka, gagal sebelum gagal adalah kegagalan yang sebenarnya.

Saya yakin risiko yang paling tinggi yang boleh kita ambil ialah semata-mata tidak mengambil sebarang risiko. Yakinlah kegagalan merupakan sebahagian dari jalan untuk mencapai kejayaan. Tidak akan wujud kejayaaan tanpa kegagalan!
.
Lupa

Seperti yang dinyatakan di atas, sebaik sahaja tamat hadir sebarang kursus atau seminar, kita berkobar-kobar untuk amal apa yang telah kita fahami. Kita mahu berubah. Namun, bila kita balik ke tempat kerja/belajar, kita mula sebok dengan urusan kerja/belajar. Hari ganti hari, minggu ganti minggu, bulan ganti bulan. Sudahnya kita lupa mengenai hajat asal kita itu tadi!

Jika ini berlaku, amalkan rahsia ini. Letakkan komitmen anda untuk amal apa yang diperolehi dari kursus atau seminar itu sebagai keutamaan anda. Tampalkan komitmen anda itu di depan meja anda. Baca komitmen itu hari-hari. Bunyi macam pelik, tapi amat mujarab. Tak percaya buat lah!
.
Yakin

Ramai manusia yang sudah hilang keyakinan dalam hidup mereka. Kata-kata seperti ini biasa kita dengar;

”Ahh, program ini tidak mampu mengubah aku” atau ”Aku sudah terlalu tua untuk berubah”.

Kata-kata sinis ini sebenarnya berasal dari kekecewaan masa lalu. Pada asalnya mereka ini sebenarnya cukup positif dalam hidup. Namun satu masa, mereka pernah mencuba tetapi gagal. Kegagalan itu cukup menyakitkan mereka. Jadi, dari terus mencuba, mereka berhenti dan menjadi sinis dengan kehidupan kerana semata-mata mahu mengelak dari terus merasa kesakitan tersebut!
.
Takut

Lumrah manusia, mereka tidak suka mencuba satu perkara baru kerana perkara baru ini akan membawa ketidakselesaan dalam hidup mereka. Manusia cenderung kepada perkara yang pasti walau perkara yang pasti itu menghadkan kehidupan mereka. Apa yang perlu kita lakukan disini ialah dengan lakukan sahaja apa yang kita takutkan itu. Mari kita lari ke arah apa yang kita takutkan itu. Disebalik apa yang kita takutkan itu sebenarnya wujud harta yang cukup bernilai untuk kehidupan kita!

Itulah dia sindrom GLYT. Kita cenderung kepada GLYT kerana kita sebagai manusia tidak mahu kepada kesusahan. Ini menandakan kita manusia memang pandai. Jika tidak pandai, masakan kita mahu mengelak dari GLYT?. Hanyanya disini kita telah tersalah dalam persepsi kita terhadap sindrom GLYT!.
.
Cuba fahami sindrom ini dengan sebenar-benarnya dan kemudian belajar mengurus dan mengatasinya. Sedarlah, kesedaran ke atas sindrom GLYT amat diperlukan sebelum anda punya kekuatan untuk amal apa yang anda perolehi dari sebarang kursus atau seminar.

Bak kata mentor saya, ”You need ABC (Awareness Before Change)!”.

No comments:

Post a Comment