.
Renungan
“If today were the last day of my life, would I want to do what I’m about to do today?”


Saturday, December 11, 2010

Kehidupan & Pengembaraan

.
Jika artikel satu minggu yang lepas menukilkan apa yang dikatakan oleh Ketua Pengarangnya, artikel ini pula menyajikan kata-kata Penolong Pengarangnya, Bro Reezal. Nikmati sinopsis tulisan beliau ini …!

Hidup ini suatu pengembaraan. Sejak dari lahir hinggalah usia hari ini, kita tidak pernah berhenti mengembara. Ya, saya lebih suka melihat kembara dalam analogi begini. Tidak semestinya kita perlu naik kapal terbang atau berkunjung ke negara orang, baru bererti kita mengembara. Entahlah …!
.
Jika anda mengembara, apa yang anda cari? Saya lebih suka menyerap sebanyak-banyaknya pengalaman di tempat orang. Saya rela melarutkan diri dalam cara hidup, budaya dan menikmati makanan mereka. Atau jika berpeluang berkunjung ke mana-mana tempat bersejarah di negara tersebut, saya seronok dapat mendengar cerita penduduk setempat mengenai sejarah dan latarbelakang mengenainya. Belajar sesuatu yang baru, ambil teladan dan pengajaran daripada kisah mereka kemudian aplikasikannya dalam kehidupan seharian. Saya kira, kembara sebegini lebih menguntungkan dan membekas ingatan.

Bukankah begitu juga dengan kehidupan? Setiap hari kita belajar perkara baru. Saban hari bertemu kenalan baru, (Facebook?) mengenali pelbagai rencam perangai manusia serta mencari cara menangani mereka sebaiknya. Malah kita juga sering diuji dan tidak henti-henti belajar menyelesai masalah lantas membentuk kita menjadi insan yang lebih sempurna. Kehidupan mengajar kita membuat keputusan dan menetapkan pendirian. Terlalu banyak persamaan antara kembara dengan kehidupan, bukan? Dalam kembara dan kehidupan juga kita jatuh cinta dan membuka hati kita kepada perkara baru.
.
Hampir 30 tahun, saya akui pengembaraan sebeginilah yang saya lalui. Penuh suka dan duka. Ada pengalaman yang saya suka simpan tetapi ada pula yang kalau boleh mahu saya buang jauh-jauh dan tidak mengenangnya lagi. Pun begitu, seperti yang saya sebutkan tadi, setiap satunya wajar dijadikan pelajaran dan teladan. Sesuatu yang saya tahu ialah dalam pengembaraan pasti ada percaturannya. Sama ada untuk mengikut jalan lurus atau perlu masuk simpang kiri atau kanan. Mempercayai sepenuhnya si pemandu teksi dan pemandu pelancong atau perlu percaya kata hati.

Apa pun, mereka yang berjaya, selalunya mengambil keputusan untuk menurut kata hati dan naluri diri dalam mengerjakan sesuatu yang mereka minat dan cintai sebagai kerjaya. Mereka mengenepikan desakan dan jangkaan orang lain. Mereka percaya dengan kemampuan sendiri dan berpegang teguh dengan pendirian, berusaha dan kemudiannya berjaya kerana pintu rezeki lebih terbuka. Ya, kata orang, jika anda mengerjakan sesuatu yang anda suka dan cinta, anda tidak perlu bekerja sehari pun dalam hidup anda.
.
Dalam satu dokumentari yang saya tonton sewaktu penerbangan ke Hamburg, Jerman lewat beberapa bulan lalu, saya terpikat dengan kata-kata yang dituturkan oleh hosnya, “Sometimes it’s better to travel than to arrive.” Saya bersetuju sungguh dengan kenyataan ini. Hmm… Mungkin kerana itulah sampai hari ini, setiap hari saya masih lagi mengembara. Anda bagaimana?
.
Jadikan PPB3K sebagai ‘katalog’ pengembaraan kehidupan anda!

2 comments:

  1. Salam saudara,
    Blog yang baik dan banyak informasi. Teruskan usaha ini..

    ReplyDelete
  2. Salam, Tq atas support tuan. Mohon sebarkan kepada kenalan ya. Salam

    ReplyDelete