.
Renungan
“If today were the last day of my life, would I want to do what I’m about to do today?”


Wednesday, January 11, 2012

Imej Diri


Imej Diri ialah bagaimana kita pandang diri kita hasil daripada idea-idea yang kita tanam dalam fikiran kita (lebih spesifiknya: fikiran separuh sedar jika anda pernah hadiri ‘Anda Dilahirkan Berjaya’). Samada kita faham atau tidak faham, kita tahu atau tidak tahu bagaimana proses ini berjalan, idea-idea ini sentiasa tertanam dalam fikiran kita.

Apabila sesuatu idea itu ditanam dalam fikiran kita, ianya membentuk hidup kita. Apa makna membentuk hidup kita? Maknanya dalam kebanyakan situasi kita tidak dapat lari dari dipengaruhi oleh idea yang telah tertanam dalam fikiran kita itu.
.
Sebagai contoh, jika idea yang tertanam itu berbunyi ‘Wang susah untuk diperolehi’ maka apa juga peluang yang berlaku keliling kita akan kita katakan susah untuk jana keuntungan. Dalam banyak perkara kita tidak sedar bahawa perkara-perkara ini terbentuk angkara kita. Kita juga tidak sedar bahawa ianya mampu kita tukar atau diubahsuai.

Bagaimana Imej Diri terbentuk?

Semasa kecil, semasa harga diri kita mulai terbentuk, kita terdedah dengan berbagai idea mengenai diri kita. Jika ibubapa kita mencurahkan kasih sayang dan sentiasa memberi sokongan, dalam banyak perkara kita akan berasa selesa dengan diri kita lalu membentuk Imej Diri kita yang positif. Sebaliknya, jika ibubapa kita selalu mendera, mencaci dan memperkecilkan kita, kita akan mudah mempunyai Imej Diri yang negatif.

Apabila kita kian dewasa dan mula terdedah dengan berbagai idea di luar sana, bermacam-macam idea ini akan mulai tertanam dalam fikiran kita. Dalam banyak perkara, kita tidak sedar akan perlaksanaan ini. Malang seribu kali malang, jika kita telah terbiasa dengan tabiat untuk melihat sesuatu itu dari sudut negatif. Ini sudahnya dengan mudah membentuk Imej Diri kita yang negatif.

Sebuah kereta yang tidak dijaga dengan betul, pasti akan menjahanamkan kereta tersebut. Sebuah rumah yang tidak dijaga dengan baik, pasti akan mengusangkan rumah tersebut. Begitu juga dengan Imej Diri anda. Ianya perlu dijaga dengan baik agar Imej Diri kita sentiasa kuat dan ceria. Kita perlu bertanggungjawab menjaga keadaan Imej Diri kita!
.
Kita perlu sentiasa waspada. Kehidupan penuh dengan kekecewaan, patah hati, kegagalan dan masalah yang bersifat sementara. Jika kita tidak berjaga-jaga, semua hal ini mampu mempengaruhi diri kita dan lantas membentuk Imej Diri kita yang negatif.

Kita perlu lakukan sesuatu dengan penuh sedar bagi mengelak perkara ini dari berlaku! Tapi bagaimana? Suap fikiran kita sekenyang-kenyangnya dengan kenyataan ini ...

Aku seorang yang unik. Tiada siapa pun yang punya apa yang kita fikirkan, idea kita dan cara kita melakukan sesuatu perkara itu. Rasa seronok kerana masih hidup dan rasa seronok kerana menjadi diri kita sendiri. Bawa diri dengan maruah yang tinggi!

Aku boleh lakukan apa saja. Kita selalu lupa bahawa hidup membenarkan kita melakukan bermacam pilihan dan kemungkinan. Disebabkan kesebokan harian, kita selalu terlepas pandang apa yang mampu kita lakukan jika kita beri fokus kepada perkara tersebut.

Aku punya kuasa yang tidak terhingga. Setiap hari, kita bangun dari tidur dengan punyai kuasa yang tidak terhingga! Kuasa yang dimaksudkan disini ialah kebolehan untuk membuat pilihan. Dengan kuasa ini, kita mampu membina, mencipta dan memperkuat sebarang hajat dalam sebarang cabang hidup kita.
.
Akhir kata, tanamkan tiga perkara ini setiap detik tanpa jemu ke dalam fikiran anda! Imej Diri anda akan menjadi kuat dan ceria. Hidup anda tidak akan sama lagi!


No comments:

Post a Comment