.
Renungan
“If today were the last day of my life, would I want to do what I’m about to do today?”


Saturday, September 1, 2012

Merdeka 2012


Sempena Merdeka 2012 ini, apa kata kita renungkan ucapan Tunku sempena Merdeka tahun 1957 dibawah ini;

video

Bila saya mendengar ucapan Tunku ini, pertama sekali dapat saya rasakan bagaimana bangganya Tunku, pemimpin-pemimpin serta rakyat negara ketika itu dengan kemerdekaan Negara ini. Dapat saya rasakan kesatuan mereka ketika itu memang berada pada tahap yang cukup tinggi. ‘Level of Trust’ di kalangan mereka cukup hebat. Berbeza dengan kita ketika inikan?

Kini. ramai di kalangan kita terutama golongan muda tidak berupaya menghargai nilai kemerdekaan ini. Mungkin ada yang berang bila saya katakan begitu tetapi bak kata Mat Salleh, ’actions speak louder than words’.  Mengapa ini terjadi? Saya rasa, ini terjadi disebabkan kita kurang pendedahan kepada info. Kita hanya suka mendengar info dari saluran infomasi yang kita suka sahaja tetapi tidak langsung mahu menilai sebarang info dari saluran infomasi yang bukan pilihan kita. Akibatnya? Skop cara pandang kita jadi sempit walau kita punya pencapaian akademik yang tinggi.  

Juga, bila saya mendengar ucapan Tunku ini, saya tertarik dengan satu kenyataan Tunku yang mengajak seluruh Rakyat  Malaya ketika itu agar berani, yakin dan berazam untuk hidup dan berjaya sebagai bangsa yang mulia.

Bunyinya mudah tetapi cuba kita tanyakan pada diri kita semua sama ada kita telah mampu capai apa yang disarankan oleh Tunku ini. Bagi saya, inilah tahap merdeka yang sebenarnya bagi sebuah bangsa. Saya ajukan soalan pada diri saya, apakah kompetensi  yang diperlukan oleh kita agar mampu hidup sebegitu?

Saya rasa jawapannya mudah tetapi ramai yang tidak mengetahuinya.

Pertama sekali, kita perlu punya kompetensi untuk kenal diri kita sendiri. Kita perlu tahu ’self-worth’ kita terlalu mahal. Tuhan menjadikan kita bukan untuk tujuan yang sia-sia. Bila kita sedari hal ini, maka baru ada kekuatan untuk kita halakan diri kita untuk mencapai segala hajat. Jika tidak, hidup kita ibarat layang-layang putus tali sahaja.

Kedua, kita perlu kompetensi bagaimana wujudkan kerjasama di antara kita. Asas kerjasama ini perlu merangkumi kaedah bagaimana mewujudkan keadaan harmoni dalam kumpulan serta kaedah capai hajat secara bekerjasama. Bila tidak wujud kompetensi ini, lihat saja huruhara yang berlaku dalam negara ini.

Ketiga, kita perlu kompetensi untuk memimpin diri ataupun satu kumpulan. Kompetensi ini tidak akan terbina walaupun ilmu kepimpinan telah kita pelajari jika dua kompetensi sebelum ini belum kita pelajari dan amalkan. Dunia amat dahagakan orang sebegini. Kadangkala saya rasa lucu melihat gelagat pemimpin yang ada ketika ini. Rasanya kera di hutan akan ikut turut ketawa lucu!

Itulah dia tiga kompetensi yang diperlukan oeh kita sebagai pra-syarat untuk hidup sebagaimana saranan Tunku di atas. Bayangkan jika tiga kompetensi ini menjadi satu mata pelajaran di sekolah-sekolah kita. Rasanya Wawasan 2020 itu senang-senang kita capai!

Selamat Menyambut Merdeka! Moga Tuhan sentiasa lindungi Malaysia. Hidup Malaysia!

No comments:

Post a Comment