.
Renungan
“If today were the last day of my life, would I want to do what I’m about to do today?”


Saturday, December 8, 2012

Program 'Produktiviti 101'


Tidak guna bercakap mengenai produktiviti jika kita tidak menghubungkan produktiviti diri maupun kumpulan kita terhadap kepuasan pelanggan. Pelanggan mahukan kita bukan disebabkan kerja-kerja yang kita laksanakan tetapi mereka mahu kepada kita kerana nilai yang kita beri kepada mereka. Nilai inilah mengapa pelanggan sanggup mengeluarkan duit mereka untuk membayar perkhidmatan atau produk kita.


Inilah perkara utama yang aku tekankan kepada para peserta dari syarikat EWT yang menyertai program ‘Produktiviti 101’ yang telah dilaksanakan di Hotel Equatorial Bangi baru-baru ini.

Bagi memberi gambaran tentang perkara ini dan tindakan yang diperlukan, aku telah memperkenalkan ‘Business Model Canvas’ (BMC) kepada mereka. Nampak betul kesannya BMC ini kepada mereka. Mudah mereka faham apa yang dimaksudkan dalam perenggan pertama artikel ini.

Setelah perancangan dilaksanakan melalui BMC ini, sudah semestinya kita mesti laksanakan apa yang dipaparkan dalam BMC ini. Ketika inilah baru ramai di kalangan kita sedar bahawa ‘knowing and doing are poles apart!’ Bagaimana kita mahu gerakkan diri ataupun kumpulan kita untuk mencapai kandungan BMC ini?

Fikir punya fikir, dalam usaha untuk mempunyai kekuatan untuk laksanakan perancangan dalam BMC ini, kita mesti sedar mengenai beberapa perkara seperti berikut;

Pertama, Kita harus keluar dari Zon Selesa (Comfort Zone) dan masuk ke dalam Zon Tempur (Combat Zone). Jika kita terus berada dalam Zon Selesa, kita akan sentiasa mengutamakan S.E.T. iaitu Sandiwara, Ego dan Temberang kita sendiri. Inilah perkara utama yang aku canangkan dalam program ’Produktiviti 101’ ini.

Kedua, perkara dalam BMC ini mudah kita laksanakan bilamana kita laksanakan secara berkumpulan. Dalam kata lain kita saling menyokong antara satu sama lain dalam apa juga keadaan. Lagipun melalui BMC, telah jelas kelihatan bahawa kita tidak mampu wujud secara bersendirian jika kita mahu memenuhi keperluan pelanggan itu.

  
Ketiga, bilamana kita bekerja dalam satu pasukan, kita harus mengenali tabiat-tabiat ahli kumpulan kita agar kita boleh serahkan sesuatu kerja itu sesuai dengan tabiat mereka. Percayalah, jika ini dilaksanakan, produktivi akan meningkat dan mampu melaksanakan kandungan BMC ini dengan efektif. Aku harap peserta program ’Produktiviti 101’ ini masih ingat kepada ’watak’ Terminator, Sleeping Beauty, Einstein dan Charlie Chaplain.

Keempat, kita perlu sama-sama merenung sejarah kita masa lalu. Bukan apa, bilamana kita renung kembali ke belakang, kita sedar satu masa dulu, bila kita dilanda masalah, kita mampu mengatasinya. Buktinya ialah kita masih mampu berdiri di waktu ini. Begitu juga, satu masa dulu, kita pernah menempa kejayaan. Ini membuktikan kita mampu mengecapi kejayaan. Cerita masa lalu ini sebenarnya memberi kita keyakinan untuk melaksana kandungan BMC ini.

Kelima, bagi melaksana kandungan BMC ini, aku katakan juga kepada peserta ’Produktiviti 101’ ini bahawa tidak guna jika kita punya semangat berpasukan yang jitu jika setiap dari kita tidak mempunyai kompetensi yang diperlukan untuk laksana tugasan dalam BMC ini. Aku harap permainan ’Guli dan Paip’ itu meninggalkan kesan kepada mereka betapa mereka perlu mempunyai kompetensi yang diperlukan dalam melaksana tugas mereka.

Akhir sekali, aku katakan pada peserta ’Produktiviti 101’ ini, dalam usaha untuk menyatu fikir, perasaan, pilihan dan tindak-tanduk mereka, kita perlu memahami dan berpegang kepada Visi, Misi dan Nilai Bersama kumpulan kita. Tiga perkara ini ibarat ’beacon’ yang akan menyatukan kita mengharungi segala cabaran dalam usaha melaksana kandungan BMC mereka itu.


Sememangnya di akhir ’Produktiviti 101’ ini aku amat puas hati dan aku dapat lihat pengurusan EWT serta anggota kerja EWT yang mengikuti program ini juga turut puas hati. Pengurusan EWT berhajat untuk mengguna khidmat aku dalam satu jangkamasa panjang. Mereka kata, kaedah yang aku bawa ini ’ngam’ dengan keperluan mereka.

Aku dan Ajid senyum puas.   

No comments:

Post a Comment