.
Renungan
“If today were the last day of my life, would I want to do what I’m about to do today?”


Thursday, April 18, 2013

ISS


Semalam, tamat program ‘Vibrant Workforce, Productivity Revolution’ (VWPR) untuk sekumpulan anggota kerja dari Jabatan Kejuruteraan, Bahagian Penghantaran, Tenaga Nasional Berhad. Memang berbaloi aku memfasilitator program kali ini kerana aku mulai jelas mengenai konsep ‘Ikhlas, Sabar, Syukur’ (ISS) yang dikongsi oleh Ustaz Hairudin beberapa waktu yang lalu.


Kalau dulu bila aku kongsikan idea ISS dengan participants, aku lihat mereka mengganggap itu hanya salah satu slogan sahaja tanpa benar-benar memahami signifikan ISS ini. Memang sudah ketentuan Tuhan, akhirnya aku ketemukan satu pendekatan bagaimana harus kita melihat ISS ini. Ceritanya begini …

Jika kita lihat hidup ini, ramai yang mengatakan hidup ini tidak adil. Kenapa tidak adil? Ialah, perhatikanlah hidup ini. Ada manusia itu yang niatnya suci ingin membantu dan sudahnya beliau pula yang dipandang bersalah. Ada manusia itu yang melakukan kesalahan sudahnya beliau terlepas dari pengadilan. Jadi dimanakah keadilannya? Walhal, kita sedia maklum, Tuhan itu Maha Adil.

Pertama, tanda Tuhan itu Maha Adil ialah dengan Tuhan menwujudkan hari akhirat bagi Beliau mengadili segala ketidakadilan yang berlaku di atas mukabumi ini. Tiada sebarang ketidakadilan akan terlepas di hari akhirat nanti! Fikirkan …

Kedua, kita perlu sedar bahawa segala apa yang ada pada kita sekarang adalah milik Tuhan termasuklah diri kita sendiri ini. Itu sebab ada hari akhirat, bagi Tuhan soal kita samada kita benar-benar telah bertanggungjawab atas apa yang telah dipinjamkan itu. Jika apa yang ada pada diri kita ini milik kita, buat apa Tuhan perlu mempersoal kita? Maka Maha Adillah Tuhan mempersoal kita kerana segala adalah milikNya. Fikirkan …


Berdasarkan kepada dua sebab di atas, sudah semestinya kita perlu buat yang terbaik apa sahaja aktiviti kita di atas dunia ini. Dan kita lakukan dengan terbaik untuk Tuhan dengan harapan agar Tuhan akan ‘bless’ kita. Bila Tuhan ‘Bless’ kita, hidup kita sudah pasti ‘Sejahtera Bahagia Kaya’ disini dan dunia sebelah sana. Inilah yang dinamakan IKHLAS. Fikirkan …

Bila kita bertemu kesusahan dalam sebarang aktiviti itu, kita perlu SABAR. Ramai yang mengetahui hal ini. Namun ramai yang berpandangan SABAR itu semacam satu tanda yang melambangkan bahawa kita lemah. Benarkah? Sebenarnya, SABAR dalam kata erti sebenarnya adalah merupakan satu penyerahan diri secara total kepada Tuhan. Maksudnya, kita memahami bahawa sebarang kesusahan yang dihadapi itu merupakan milik Tuhan juga. Sudah pasti penyelesaiannya ada pada Tuhan juga.

Atas dasar bahawa kita mahu buat yang terbaik untuk Tuhan (IKHLAS), kita akan memohon agar Tuhan tunjukkan jalan penyelesaian yang terbaik untuk kita. Sudahnya kita tidak akan berasa tertekan yang amat sangat. Berbeza jika kita memandang sesuatu kesusahan itu sebagai tanggunggan atau milik kita semata-mata, sudah pasti kita akan stress. Inilah yang dinamakan SABAR. Fikirkan …  

Ramai orang bila bertemu dengan kesenangan dan puji-pujian akan lupa diri. Mengapa? Kerana mereka berprasangka bahawa segala kesenangan dan puji-pujian itu sebagai milik mereka. Sebaliknya jika kita sedar bahawa segala kesenangan dan puji-pujian itu juga merupakan milik Tuhan, sudah pasti kita akan bersyukur dan mengucapkan Segala Puji Bagi Tuhan (Alhamdullilah). Dalam kata lain kita pulangkan segala kesenangan dan pujian itu kepada Tuhan. Hasilnya kita tidak akan lupa diri. Itulah yang dinamakan SYUKUR. Fikirkan

Bila kita memahami konsep ISS sebegini, maka dengan izin Tuhan, kita akan berjalan atas mukabumi ini dengan penuh ketenangan dan  jauh dari lupa diri yang menjahanamkan. Sudahnya, adakah kita nampak peluang untuk amal ISS ini dalam segenap kehidupan kita? Sebagai contoh, bila kita bekerja, adakah kita mampu buat yang terbaik dan serahkan kepada Tuhan? (IKHLAS). Bila bertemu kesusahan dalam kerja, adakah kita mampu memohon Tuhan membimbing kita? (SABAR). Bila kita menerima kesenangan atau pujian orang, adakah kita mampu mengucapkan segala puji bagi Tuhan? (SYUKUR).


Itulah satu perkara utama yang aku pelajari dalam VWPR kali ini. Moga Tuhan rahmati kita semua.

No comments:

Post a Comment