.
Renungan
“If today were the last day of my life, would I want to do what I’m about to do today?”


Wednesday, May 8, 2013

Cerita Makan Buah


Tersebutlah kisah satu masa di zaman dahulu. Ada seorang pemuda bernama Ayas. Nak dijadikan cerita, satu hari tu, Ayas telah pergi mengiringi raja negeri itu pergi berburu didalam sebuah hutan tebal.


Selepas lama memburu, raja itu telah menitahkan agar semua rombongan memburu baginda berhenti berehat di bawah sebatang pokok buah yang sedang lebat berbuah. Raja itu lantas mengambil sebiji buah yang sedang masak ranum. Lantas baginda membelah suku dari buah tersebut.

Raja itu lantas memberi suku bahagian buah itu kepada Ayas. Sebaik sahaja Ayas memakan buah itu, Ayas terus mengatakan betapa manisnya buah itu. Disebabkan raja itu sungguh gembira melihat Ayas menikmati buah tersebut, lantas diberinya suku lagi bahagian buah tersebut kepada Ayas.

Ayas terus memakan buah tersebut sambil memuji-muji kemanisan buah tersebut. Raja itu kian gembira dengan reaksi Ayas lalu diberinya lagi suku bahagian buah tersebut. Ayas tidak habis-habis memuji kemanisan buah tersebut sambil memakan buah pemberian raja itu.

Hanya masih tinggal suku bahagian di tangan raja. Tergerak hati raja itu untuk menikmati baki buah yang ada di tangan baginda. Lantas baginda memakan buah tersebut. Hampir sahaja baginda meluahkan semula buah yang dimakan itu kerana buah itu terlalu masam!

Raja itu lantas bertanya kepada Ayas mengapa beliau mengatakan buah itu manis walhal apa yang dirasakan baginda adalah sebaliknya. Ayas hanya tersenyum lantas ini jawapan Ayas kepada raja …

“Tuanku, bukan selalu  orang biasa macam saya ini menerima pemberian dari tuanku. Saya amat bersyukur dan gembira menerima pemberian dari tuanku walaupun saya tahu buah itu terlalu masam.”

Raja itu duduk termenung seketika mendengar jawapan dari Ayas.


Apa yang kita pelajari dari cerita di atas?

Cerita ini telah dikongsi oleh seorang sahabat baik saya pada diri saya ketika saya menghadapi satu dilemma dalam hidup. Pelajaran yang saya terima dari cerita ini ialah kita perlu sedar bahawa apa yang kita terima dalam hidup ini sebenarnya merupakan pemberian Tuhan. Baik perkara yang baik maupun tidak baik di mata kita. Semuanya pemberian Tuhan.

Untuk itu, kita perlu terima dengan hati terbuka dan bersangka baik kepada Tuhan. Kenapa? Kerana Tuhan maha tahu apa yang terbaik untuk kita. Tambah pula Tuhan maha jauh pandangannya dan sangat sayang pada kita semua.

Jika inilah cara pandang kita, mana mungkin kita menjadi seorang yang berfikiran negatif dan sentiasa memberi alasan dalam hidup ini. Fikirkan  …

No comments:

Post a Comment