.
Renungan
“If today were the last day of my life, would I want to do what I’m about to do today?”


Tuesday, April 15, 2014

Kisah Pokok Epal


Suatu ketika, hiduplah sebatang pokok epal dan seorang anak kecil lelaki yang suka bermain setiap hari di bawah pokok epal itu.


Anak kecil lelaki itu suka memanjat pokok epal itu, memakan buah epal pokok epal itu dan tidur di bawah pokok epal yang rendang itu. Demikian pula, pokok epal itu amat menyayangi anak kecil lelaki itu.

Waktu terus berlalu. Anak kecil lelaki itu kini makin membesar dan dia tidak lagi bermain di bawah pokok epal itu setiap hari.

Satu hari, anak lelaki itu datang bertemu dengan pokok epal itu. Wajahnya nampak sedih …

“Wahai anak, mari bermain dengan ku” kata pokok epal itu dengan girang.

“Aku bukan anak kecil lagi yang suka bermain pokok epal.” kata anak lelaki itu.

 “Aku ingin sekali membeli permainan tetapi aku tidak punya wang.” rungut anak lelaki itu.

Pokok epal itu menyahut, “Aku pun tidak punya wang tetapi kau boleh mengambil semua buah epal aku dan menjualnya untuk mendapatkan wang. Dengan wang tersebut, kau boleh membeli permainan kegemaran kau itu.”

Anak lelaki itu sangat gembira lalu memetik semua buah epal pokok epal tersebut. Selepas itu anak lelaki meninggalkan pokok epal itu dengan gembira. Namun, selepas itu, anak lelaki itu tidak lagi kembali bertemu dengan pokok epal itu. Pokok epal itu sangat sedih.

Satu hari, anak lelaki itu datang lagi. Pokok epal itu sangat gembira melihat anak lelaki itu.

“Wahai anak, mari bermain dengan saya” kata pokok epal itu dengan penuh harapan.

“Aku tidak punya masa untuk bermain.” balas anak lelaki itu.

“Aku harus bekerja untuk menyara keluarga aku. Sekarang aku perlu membina rumah untuk keluarga aku berteduh. Mahukah kau membantu aku membina rumah?

“Maaf, aku sendiri pun tidak ada rumah. Tetapi kau boleh memotong segala dahan dan ranting yang ada pada aku ini untuk membina rumah tersebut” kata pokok epal itu.

Anak lelaki itu lalu menebang segala ranting dan dahan pkok epal itu dan berlalu pergi dengan gembira.

Pokok epal itu merasa amat bahagia melihat anak lelaki itu senang tetapi anak lelaki itu tidak pernah kembali lagi. Pokok epal itu berasa sangat sedih dan kesepian.

Satu masa, lama selepas kali terakhir anak lelaki itu bertemu pokok epal itu, anak lelaki itu datang kembali. Pokok epal itu sangat gembira lalu mengajak anak lelaki itu bermain dengannya. Ajakan pokok epal itu tidak diendahkan oleh anak lelaki itu.

Malah dia berkata, “Aku sangat sedih kerana aku sudah makin tua. Aku mahukan sebuah kapal untuk pergi bersiar-siar. Mahukah kamu berikan aku sebuah kapal?”

“Maaf, kerana aku tidak punya kapal tetapi kau boleh tebang batang tubuh aku ini untuk membuat kapal yang kau inginkan itu.” kata pokok epal itu dengan sepontan.

Kemudian anak lelaki itu lantas memotong batang pokok epal itu lalu membuat kapal idamannya. Dia lalu pergi belayar dan tidak kembali lagi. Akhirnya, selepas bertahun-tahun belayar, dia kembali semula kepada pokok epal itu..

 “Maaf anak ku, aku sudah tidak punya buah epal untuk kau makan lagi” kata pokok epal itu dengan sayu.

“Tak apa. Aku pun sudah tidak punya gigi untuk menggigit buah epal kamu.” kata anak lelaki itu.
 “Aku pun tidak punya batang pokok untuk kau panjat lagi.” tambah pokok epal itu dengan sedih.

“Sekarang, aku sudah terlalu tua untuk itu.” kata anak lelaki itu lagi.

 “Aku benar-benar tidak punya apa lagi untuk aku berikan kepada mu anak.” kata pokok epal itu lagi dengan nada kesal.

“Yang ada hanyalah akar-akar yang sudah tua dan sudah tidak berguna lagi ini.” kata pokok epal itu lagi dengan air matanya bercucuran.

“Aku sudah tidak memerlukan apa-apa lagi dari diri mu.” kata anak lelaki itu.

“Aku hanya mahukan tempat berehat. Aku sangat letih selepas lama meninggalkan kamu.” tambah anak lelaki itu.

“Oh benarkah? Akar-akar aku ini memang sesuai untuk berehat. Mari berbaring dicelah-celah akar akar aku ini.” kata pokok epal itu dengan girang.

Anak lelaki yang sudah tua itu lalu berbaring memeluk akar-akar pokok epal itu. Pokok epal itu sangat gembira dan tersenyum sambil menitiskan air matanya.

Ini adalah cerita kita semua. Pokok epal itu adalah ibarat ibu bapa kita. Ketika kita muda, kita suka bermain dengan ibu bapa kita.

Ketika kita mula dewasa, kita datang hanya sesekali kepada mereka di kala kita memerlukan bantuan mereka atau  kita di dalam kesusahan. Tidak kira waktu, ibu bapa kita sentiasa bermurah hati untuk memberikan segala bantuan yang diperlukan agar kita tetap bahagia.

Mungkin ada antara kita mengatakan bahawa anak lelaki ini bertindak keterlaluan terhadap pokok epal itu tetapi itulah hakikatnya bagaimana kita bertindak terhadap ibu bapa kita.


Sedarkah kita dengan semunya ini …?

No comments:

Post a Comment