.
Renungan
“If today were the last day of my life, would I want to do what I’m about to do today?”


Monday, May 19, 2014

Keutamaan Memberi


Kita kadangkala lupa untuk menghargai kaum kerabat, saudara-mara, jiran tetangga dan juga teman-teman yang ada disekeliling kita. Pernahkah kita sedar bahawa setiap orang yang hadir dalam hidup kita telah menambah erti kehidupan pada diri kita? Kita telah menemui pelbagai jenis ragam manusia yang adakalanya menggembirakan, adakalanya menyakitkan dan mungkin juga mengecilkan hati kita. Namun sebenarnya kita telah pelajari sesuatu dari sebuah kehidupan.


Pernahkah kita menghargai kehadiran mereka dalam kehidupan kita dengan memberikan sesuatu kepada mereka. Betapa indahnya sebuah pemberian yang penuh dengan keikhlasan. Pasti yang menerimanya juga akan merasakan keikhlasan kita itu. Kadang-kadang kita memberi, kadang-kadang kita pula menerima, Konsepnya sama, memberi dengan ikhlas, menerimanya juga dengan ikhlas. Bukan setiap masa kita memberi, dan bukan setiap masa kita menerima.

Dalam persahabatan umpamanya kita perlu belajar umpamanya kita perlu belajar memberi dan menerima. Memberilah sekadar termampu, memberilah ketika kita masih boleh memberi. Usah pedulikan cacian mereka disekeliling. Percayalah orang yang memberi akan lebih gembira dari yang menerimanya.

Hadiah bermaksud sesuatu pemberian sebagai tanda penghargaan, kasih sayang atau pujian kepada seseorang. Hukum memberikan hadiah adalah sunat. Daripada Abu Hurairah r.a, katanya Rasulullah S.A.W bersabda: "Saling memberikan hadiah di antara kamu nescaya kamu akan berkasih sayang." (HR : At-Tabrani)

Adab Memberi (Sedekah, hadiah, hibah dan lain-lain)

1. Niat kerana Allah SWT semata, tiada niat yang lain.
2. Pemberian itu membawa manfaat kepada si penerima.
3. Pemberian diberikan dengan cara yang sebaik-baiknya.
4. Tidak mengharapkan apa-apa balasan.

Adab Menerima (Sedekah, hadiah, hibah dan lain-lain)

1. Tunjukkan rasa gembira ketika menerima bantuan dan hadiah sebagai tanda suka dan menghargainya sama ada nilai pemberian itu kecil atau besar.
2. Berdoa untuknya mudah-mudahan dia dimurahkan rezeki agar dapat membantu lebih ramai orang lagi dan diberi kebaikan hidup di dunia dan akhirat.
3. Tanamkan azam untuk membalas kebaikan itu.

Kelebihan Memberi (Sedekah, hadiah, hibah dan lain-lain)
1. Mendapat ganjaran baik daripada Allah SWT.
2. Mereka yang suka memberi akan dimurahkan rezekinya hidupnya sentiasa berada dalam keberkatan Allah. Malah pemberian itu akan digantikan dengan yang lebih baik.
3. Dapat meringankan beban mana-mana individu dan anggota masyarakat yang berhajat dan memerlukan.
4. Menghapuskan dosa-dosa orang yang memberi.
5. Disukai oleh manusia. Tidak ada orang yang tidak sukakan hadiah (pemberian percuma)
6 Mengeratkan silaturahim. Sikap suka memberi (sama ada atas nama sedekah, hadiah, hibah atau sebarang bantuan dan pertolongan) dapat mengeratkan ikatan ukhuwah islamiyah dan melahirkan kasih sayang.

Sabda baginda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Janganlah engkau menghina seorang jiran yang menghadiahkan kepada jirannya walaupun hanya dengan kuku kambing." (HR : Muslim)

Islam sangat menggalakkan umatnya untuk saling memberi hadiah. Berusahalah untuk lebih banyak memberi daripada hanya mengharap menerima pemberian orang lain. Terimalah juga dengan jiwa yang besar, jangan merasa sakit hati, tapi bertekadlah dalam hati untuk berusaha membalas pemberian tersebut kepadanya dengan lebih baik.

Dalam hidup ini kita perlu banyak memberi untuk banyak menerima. Memberi juga jangan mengharap balasan kerana pulangan sudah dijanjikan-Nya. Bagaimana, bila dan bentuk pulangannya terpulang kepada Allah SWT dan bergantung kepada keikhlasan ketika kita memberi.

Pulangannya tidak semestinya dalam bentuk mata wang sahaja, mungkin dalam bentuk-bentuk seperti;

1) Rasa gembira dan tenang bila melakukan kebaikan.
2) Keluarga yang sakinah
3) Anak-anak yang bijak dan soleh
4) Rezeki yang mudah, kalau ada masalah pun diberikan Allah jalan keluar penyelesaiannya.
5) Sentiasa ditemukan dengan orang yang baik-baik.

Untuk menerima sesuatu kita perlu memberi terlebih dahulu, andai diri sentiasa melihat orang lain menerima ini itu sedang diri sukar untuk mendapat sesuatu. Tanya pada diri apa yang pernah kita beri pada orang untuk kita layak mendapat sebegitu. Memberilah untuk menerima dan berusahalah untuk lebih banyak memberi daripada sekadar menerima pemberian orang lain.

No comments:

Post a Comment