.
Renungan
“If today were the last day of my life, would I want to do what I’m about to do today?”


Sunday, July 27, 2014

Ramadan 2014


Saya ingin menulis sesuatu tentang pemerhatian dan pengalaman tentang Ramadan kali ini.

Saya rasa satu peristiwa besar yang kita alami Ramadan kali ini ialah peristiwa MH 17 yang ditembak jatuh di Ukraine. Semacam mimpi sebenarnya saya rasakan bila ini berlaku. Tapi itulah ketentuan Allah. Hasilnya banyak yang boleh kita pelajari.

Satu perkara yang benar-benar saya rasakan ialah saya lihat rakyat negara ini sebenarnya mampu untuk bersatu. Satu pemandangan yang saya dah lama saya tidak rasakan. Walau berbeza agama dan politik, seolah-olah peristiwa ini ada rahmatnya untuk Negara ini. Itulah kerja Allah. Allah memang Maha Mengetahui segala-galanya.

Apa pun, takziah saya kepada saudara-saudari kita yang terlibat dengan nahas MH 17 ini dan tidak ketinggalan mangsa nahas MH 370 juga. Moga Allah beri kekuatan dan kesabaran kepada saudara dan sahabat mangsa nahas-nahas ini. Ameen.  

Kejadian di Gaza ketika ini, entah mengapa benar-benar menyentuh perasaan saya. Tidak seperti peristiwa kegawatan di bumi Palestine sebelum ini, kali ini memang membuka mata saya tentang apa yang dihadapi oleh rakyat Palestine ini.

Tergamak seorang manusia itu menghentam manusia lain sebegitu rupa. Mengapa jadi begini?. Itulah bila keadaan hati dipengaruhi oleh bisikan syaitan dan hawa nafsu. Nampak hodoh sungguh manusia sebegini. Sudah tidak mampu lagi difahami dengan logik segala tindak tanduk mereka ini.

Tetapi Allah itu Maha Adil. Segala apa yang dilaksanakan oleh seorang manusia itu walaupun beliau merasakan beliau terlalu berkuasa di atas mukabumi, pasti beliau tidak akan terlepas dari hukum Allah. Buat kebaikan pasti dibalas kebaikan. Buat kejahatan pasti dibalas kejahatan. Apa pun hanya masa sahaja akan menentukan bila perkara itu akan dibalas!

Apapun, saya doa dan saya harap, segala mangsa kejahatan yang berleluasa di bumi Palestine itu diberi kesabaran dan kekuatan menghadapi ujian serta mendapat rahmat dan berkat dari Allah, dunia akhirat. Ameen.

Dari segi peribadi pula, Ramadan kali ini membawa seribu satu pelajaran kepada saya. Memang banyak perkara yang perlu saya perbaiki dalam diri ini sebelum di panggil pulang buat selama-lamanya. Saya amat tersentuh bila Allah beri saya ruang untuk menziarahi emak saudara saya hari Jumaat lepas.

Semasa saya datang melawat beliau di ICU, hospital Ampang Jumaat lepas, pada ketika itu ditakdirkan hanya saya mengadap beliau seorang. Saya lihat beliau dalam keadaan kesakitan. Terkedu saya dibuatnya. Namun sempat saya bisikkan kepada beliau agar Allah ampuni dosa dan tingkatkan darjat beliau. Emak saudara saya ini sempat menggangguk kepalanya. Keesokkan subuh, emak saudara saya ini menghembus nafas terakhir beliau.

Moga Allah ampuni dan rahmati Roh Emak saudara saya ini. Ameen.

Sudahnya, Ramadan kali ini banyak mengajar saya tentang erti betapa singkatnya kehidupan ini. Semestinya kita mesti beri yang terbaik dalam hidup ini sebelum kita dipanggil pulang buat selama-lamanya. Moga Allah beri kita semua kesedaran dan kekuatan untuk amal secara berterusan hakikat ini. Ameen.

Apapun, bagi Aidil Fitri yang bakal tiba, semestinya kita mengharapkan satu sinar harapan untuk mencipta kejayaan. Untuk itu, saya suka disini berkongsi satu video mengenai Aidil Fitri ini. Perhatikan kata-katanya …

video

Selamat Hari Raya Aidilfitri.
Maaf Zahir Batin.

No comments:

Post a Comment