.
Renungan
“If today were the last day of my life, would I want to do what I’m about to do today?”


Saturday, January 17, 2015

Monyet dan Ikan


Suatu hari, seekor monyet yang sedang kehausan pergi ke sebuah kolam untuk minum bagi menghilangkan dahaganya. Ketika dia hendak minum, tiba-tiba perhatiannya tertumpu pada seekor ikan koi yang sedang berenang di dalam kolam tersebut. Lalu ia berfikir “Kasihan sekali ikan ini, ia pasti memerlukan pertolongan.”


Dengan tidak berlengah, si monyet segera menghampiri ikan tersebut terus mengangkat dan meletakkannya di atas darat. Monyet itu kemudian berkata dalam hatinya, “Sekarang pasti kamu merasa lebih selamat.” Tidak lama kemudian, ikan tersebut pun mati. Si monyet kebingungan memikirkan hal ini. “Bukankah aku telah menolongnya, bukankah ia sekarang telah berada di tempat yang lebih baik, lalu mengapa ia mati?” Si monyet berkata kepada dirinya sendiri.

Rasionalnya:

Banyak di antara kita yang bertindak seperti monyet tersebut, yang menganggap tindakannya mengangkat ikan tersebut ke darat sebagai tindakan menolong kerana dia melihat dari kaca matanya sendiri yang tidak dapat berenang. Keadaan ikan yang tercungap-cungap semasa berada di atas darat semakin menyakinkan dirinya bahawa ikan tersebut sangat memerlukan pertolongan, kerana dia menganggap ikan tersebut pasti sedang mengalami kesulitan untuk bernafas.

Jadi, adakah apa yang dilakukan si monyet itu salah? Bukankah niatnya baik iaitu ingin menolong ikan tersebut? Jika salah, di manakah salahnya?

Niat si monyet memang baik, namun ia tidak cukup untuk memperoleh hasil yang baik. Yang salahnya, monyet tersebut tidak memiliki ilmu untuk memahami hakikat bahawa ikan hidup di dalam air. Oleh itu, pengajarannya – ilmu adalah penting sebelum melakukan sesuatu tindakan.

Mengapa kita sering kali tidak melihat hakikat sesuatu peristiwa?

Kebodohan – ini dapat diatasi dengan belajar.

      Keegoan – di mana seseorang itu melihat sesuatu peristiwa/persoalan dari sudut pandangannya sahaja. Lebih teruk lagi, jika kebijaksanaannya digunakan untuk kepentingan diri dan kroninya sahaja. Jika ini terjadi, orang tersebut lebih buruk daripada si monyet tadi.

Kesimpulannya, niat baik saja tidak cukup untuk melakukan sesuatu tindakan, fahamilah hakikat sesuatu peristiwa. Justeru, kita harus memperbanyakkan informasi dan pengetahuan, serta menghilangkan terlebih dahulu segala anggapan. Orang bijak pernah berkata, “Memahami hakikat persoalan sama dengan menyelesaikan separuh daripada persoalan tersebut.”

No comments:

Post a Comment