.
Renungan
“If today were the last day of my life, would I want to do what I’m about to do today?”


Wednesday, June 1, 2016

Pekerja Bagaimana Yang Boss Mahu?


Sempena dengan siapnya nota Better.Brighter ini, saya tertarik dengan perkongsian seorang sahabat tentang satu artikel di dalam akhbatr SINAR HARIAN (saya yakin kalau beliau baca artikel ini, beliau akan tersenyum). Mari sama-sama kita renungkan maksud artikel ini dan apakah kaitannya dengan idea-idea yang ada dalam program Better.Brighter itu sendiri ...




SAYA berjumpa dengan kawan lama, Hussaini melalui staf saya yang menemubual beliau untuk suatu tugasan. Baharu saya dapat tahu yang dia sudah lama berjaya dalam perniagaan.

Sejak dulu lagi, dia jenis lelaki yang sentiasa on-the-go. Suka bertukar kerja hingga saya pernah menganggap yang Hussaini akan lambat ‘jadi orang'.

Tetapi kini… bayangkan, jika dia mampu mengimport tiga kontena pakaian setiap bulan untuk butik-butiknya, saya kira dia adalah seorang jutawan senyap.

Saya mengajak Hussaini keluar minum apabila dia berkunjung untuk suatu urusan di Shah Alam. Pakaiannya simple seperti orang biasa. Yang tampak sedikit luarbiasa ialah telefon pintar xperia-z5-premium-dualnya.

Kami berbual fasal kerja dan kerjaya. Lantas menyentuh mengenai pencari-pencari kerja pada hari ini. Katanya, di sebalik sukarnya graduan memperoleh kerja, ada ramai lagi graduan yang tidak bekerja kerana terlalu memilih. Ramai yang mahu jadi pekerja kolar putih, sedangkan peluang untuk pekerjaan kolar biru banyak berlambak.

Saya sempat mengunjuk satu kajian dijalankan oleh portal mencari kerja JobStreet.com Malaysia kepadanya. Kajian yang melibatkan 7,958 responden, mengumpul maklumat 10 syarikat manakah yang paling diidamkan oleh rakyat negara ini bagi membentuk kerjaya. Syarikat-syarikat yang digemari adalah Public Bank, Tenaga Nasional Berhad, Intel, Nestle, Air Asia, Maybank, Sime Darby, Google, Shell dan Petronas.

Menurut laporan itu, di antara faktor yang menarik calon untuk memilih sesebuah syarikat itu adalah faktor gaji, ganjaran, insentif, budaya, suasana kerja, perkembangan kerjaya dan reputasi syarikat tersebut. Biasalah bagi kebanyakan calon, apa yang menjadi perkara pokok ialah pendapatan. Mereka mahu gaji yang besar apabila memilih sebuah syarikat yang besar.

Hussaini tergelak kerana ramai yang mahu bekerja di tempat yang besar, tetapi tidak sanggup membesarkan fikiran dan impian masing-masing agar setanding dengan kehendak syarikat yang dianggotainya. Katanya, apabila seseorang itu berjaya terpilih untuk bertugas di sesebuah syarikat, ia belum membuktikan apa-apa.

Dia tidak boleh lagi bersandar kepada dokumen-dokumen yang tampak bagus di kertas dan kemahiran menjawab soalan ketika temuduga. Dokumen-dokumen kelayakan dan soal jawab pada sesi temuduga hanyalah proses membuka pintu hingga calon itu dibenarkan masuk untuk bertugas.

Calon itu  sebenarnya hanya berjaya dari segi personalitinya. Belum lagi apa-apa. Yang mahu dilihat majikan ialah sikapnya. Sebab, jika diukur daripada segi kelulusan semata-mata, ada berpuluh calon lain yang punyai kelulusan serupa mahupun yang lebih baik tatkala proses temuduga berlangsung. Kerana itu, dia hanya bernasib baik kerana terpilih, Mungkin yang terbaik di antara yang baik.

Sebagai seorang majikan kepada lebih 100 orang pekerja, Hussaini memerhati pekerjanya dari hari pertama. Yang dikenal pasti ialah kedatangan. Apakah datang awal dan balik lewat dari waktu pejabat? Itu ciri pertama yang menggambarkan seseorang itu berminat dari untuk bekerja. Ada ciri-ciri keusahawanan kerana seseorang usahawan bekerja tidak mengira waktu.

Kedua ialah ketepatan masa samada ketepatan masa menghadiri mesyuarat, menyiapkan tugas mahupun ketepatan masa menunaikan solat. Seandainya jam bukan menjadi rujukan seseorang pekerja, seseorang itu tidak boleh menjadi anggota pasukan kerja.

Ketidaktepatan waktu mungkin sekali menjadikan dia punca kelewatan seluruh organisasi.

Menurut Hussaini, perkara ketiga yang dimahunya ialah rasa empunya seseorang terhadap tugasnya. Rasa empunya ini bakal mencetuskan rasa ketaatan yang tidak berbelah bahagi.

Menurutnya, dia sendiri perlu tekun dan fokus dengan misi dan visi syarikatnya kerana ini adalah periuk nasinya. Jika kesemua warga kerjanya punyai rasa sebegitu, insya-ALLAH poket masing-masing akan dapat dipenuhkan pada setiap bulan.

Dan akhir sekali ialah pick-up. Maksud Hussaini, kemahiran untuk mentafsir apa yang diimpikan oleh majikan hingga menjadikan ia realiti.

Dalam memberi tugasan, seseorang ketua mungkin melihat dari sudut teori. Seseorang pekerja yang baik mampu menzahirkan idea majikannya hingga menjadi realiti. ‘Bagaimana maksudnya?’ tanya saya. Jawab Hussaini, andainya bos itu sultan dan pekerja itu bendahara dan suatu hari, sultan terpandang buah nangka di atas pokok lalu berkata, ‘Cantik sungguh buah nangka itu, bendahara.’ Tanpa menjawab, si bendahara terus memetik nangka, membelah lalu mempersembahkannya kepada sultan lalu berkata, ‘Dipersilakan untuk santap, tuanku!’

Maknanya, seseorang pekerja yang terbaik adalah seorang penafsir mimpi buat bosnya.

2 comments:

  1. tanda org bijak
    niat
    hukum memberi dan menerima
    perubahan

    ReplyDelete
  2. Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
    Jika ya, silahkan kunjungi website kami www.kumpulbagi.com atau www.facebook.com/kumpulbagi/ untuk info selengkapnya.

    Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto keluarga dan trip, music, video, filem dll dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)

    ReplyDelete