.
Renungan
“If today were the last day of my life, would I want to do what I’m about to do today?”


Monday, January 2, 2017

Satu Fikir Di Awal 2017


Beberapa hari yang lepas, seorang sahabat bertanya kepada saya, ‘Saya sedar bahawa keadaan emosi saya sangat kuat mempengaruhi mindset saya. Soalnya bagaimana saya perlu mentadbir emosi saya?”


Soalan di atas nampak mudah tetapi bila soalan ini diajukan, saya terkedu sebentar kerana inilah yang sedang saya alami. Emosi saya sering kacau sejak kebelakangan ini dan atas sebab itu mindset saya selalu menjadi negatif. Soalnya bagaimana harus hal ini ditangani?

Langkah Pertama

Sedarlah bahawa keadaan emosi kita itu tidak lain hanyalah lambang apa yang sedang kita fikirkan atau mindset kita. Dalam kata lain;

Emosi sedih lambang fikiran yang negatif -  Payah capai apa yang dihajati.
Emosi gembira lambang fikiran  yang positif – Mudah capai apa yang dihajati

Langkah Kedua

Ubahlah apa yang difikirkan kearah yang lebih positif. Senang bercakap untuk ubah fikiran ke arah yang lebih positif tetapi bagaimana untuk mengubah fikiran dan bagaimana untuk mengekalkan fikiran ke arah yang lebih positif tersebut? Caranya ialah dengan menetapkan matlamat untuk diri sendiri.

Ramai yang mungkin mengeluh bila saya mengutarakan pendapat ini. Kenapa? Sebab ramai yang gagal menetapkan matlamat tersebut. Persoalannya mengapa? Inilah ada kerana secara psikologinya, penetapan matlamat dan usaha untuk mencapai matlamat tersebut memerlukan mereka mengorbankan kebiasaan mereka. Dalam kata lain, mereka perlu keluar dari zon selesa.

Mereka terperuk dalam zon selesa kerana mereka hanya fokus kepada apa yang mereka bakal hilang dan tidak fokus kepada apa yang bakal mereka perolehi seperti mencapai matlamat tersebut, mendapat pengalaman dan ilmu dari usaha penetapan dan pencapaian matlamat tersebut dan lain-lain lagi.

Langkah Ketiga

Bilamana matlamat telah ditetapkan dan mula diusahakan, maka ianya akan membantu fikiran menjadi positif dan kekal dalam keadaan positif. Pada ketika itu, bukankah emosi kita akan jadi gembira? Bila kita gembira, bukankah itu memudahkan mencapai matlamat? Fikirkan …

Rumusan

Saya mulai sedar tidak perlu saya melayan perasaan saya lagi kerana ianya akan menyebabkan saya menjadi makin huru hara dalam hidup ini tetapi saya akan jadikan emosi saya hanya sebagai pedoman untuk memperbaiki cara fikir saya agar hidup saya terurus dan tidak membuang masa!

Itulah, sebagai resolusi tahun baru ini, saya mahu melihat tugas baru saya bukan sebagai satu beban (emosi mudah menjadi sedih) tetapi melihat tugas saya sebagai peluang untuk  belajar dan membangunkan sebuah bisnes (emosi mudah menjadi gembira). Bukankah ini bakal memudahkan saya mencapai matlamat saya? Anda bagaimana?


No comments:

Post a Comment