.
Renungan
“If today were the last day of my life, would I want to do what I’m about to do today?”


Saturday, May 27, 2017

Tan Sri Hassan Marican (Part 3)



S: Tan Sri ada jet Petronas, tapi jika menggunakan penerbangan komersial, adakah Tan Sri turun gred ke kelas perniagaan?

HASSAN: Saya tidak turun gred ke kelas perniagaan, saya kekal di kelas pertama kerana dua sebab. Pertama, saya boleh sampai ke London dan terus bekerja, jadi saya nak ambil peluang untuk tidur dalam pesawat, kedua, kedudukan yang saya bawa. Kalau tidak naik kelas pertama dan naik kelas perniagaan orang akan perhati dan you adalah CEO Petronas, ini soal imej dan persepsi orang, itu kena jaga juga.
Tapi jika saya pergi London atas urusan peribadi dan bersama keluarga, mungkin saya pergi ekonomilah.

S: Tan Sri ini betul-betul kedekutlah?

HASSAN: Kalau nak kata kedekut, kedekutlah. Kita kena bagi tahu anak-anak kita benda ini susah, bukan dapat mudah, dapat pi London dan naik kapal terbang itu sudah cukup baik. Ia adalah bagaimana kita membentuk minda mereka, kalau tidak depa ingat kita dapat senang-senang saja. Anak saya ada empat orang, dua masih kecil darjah enam dan tingkatan tiga, seorang di universiti habis tahun depan dan seorang lagi dah kahwin.

S : Kita pernah nampak, Tan Sri bawa bungkusan dalam plastik ulam dari rumah ke meja makan semasa berbuka puasa dengan para wartawan. Nampaknya Tan Sri adalah peminat ulam?

HASSAN: Betul, saya suka makan ulam. Ulam raja, pucuk janggus (gajus), pucuk putat. Saya tanam sendiri, pokok munggai pun ada di rumah. Di pejabat setiap hari, saya makan nasi bekal. Isteri saya masak dan dihantar ke pejabat. Kalau saya keluar makan tengah hari, habis banyak masa. Puas makan makanan dari rumah, ada gulai ikan ka, dan macam-macam lagi, puaslah. Kerana kadang-kadang kita pun ada macam-macam majlis dan makan malam yang perlu hadir, jadi tengah hari kita ambil kesempatan makan lauk dari rumahlah, sambal ikan kering mesti kena ada (ketawa).

S: Bolehkah Petronas menyedut lebih minyak bagi menambah pendapatan kerajaan?

HASSAN: Dalam usaha melanjutkan hayat simpanan minyak kita dan berdasarkan polisi syarikat, kita hanya hasilkan 650,000 tong sehari. Dari segi teknikal, pelantar dan keupayaan simpanan kita, ia direka untuk mengeluarkan 650,000 ke 700,000 tong sehari.

Kita tidak boleh sewenang-wenang sedut keluar macam buka pancur air, kerana ia akan memusnahkan telaga simpanan minyak kita. Jika kita paksa, telaga itu akan musnah. Macam paru-paru, jika ia tembus, anginnya akan keluar perlahan-lahan, jika kita tekan kuat, ia akan kecut terus. Macam itu juga telaga minyak di dasar laut.

Maknanya, walaupun ada permintaan supaya disedut lebih, kita tak boleh buat kerana ia akan memusnahkan telaga minyak itu.

Lebih penting lagi, kita memegang amanah, untuk generasi akan datang, anak cucu kita boleh tumpang sama.

Nota: Selepas mengundurkan diri dari Petronas kira-kira tujuh tahun lalu, anak jati Sungai Petani, Kedah itu kini dilantik sebagai Pengerusi Singapore Power, Pavilion Energy, Pavilion Gas dan Lan Ting Holdings dan ahli lembaga pengarah Regional Economic Development Authority of Sarawak, Sarawak Energy, Lambert Energy Advisory dan MH Marican Advisory. Beliau juga adalah penasihat kanan antarabangsa Temasek.

No comments:

Post a Comment